Seperti yang anda maklum, semua topi keledar (helmet) bagi penunggang motosikal wajib lulus piawaian. Badan berkanun yang meluluskan sesuatu helmet di Malaysia ialah SIRIM (Standard of Industrial and Research Institute Malaysia). Namun, ada pula helmet di dalam pasaran kita yang tiada label SIRIM. Hendak tambah keliru lagi, ada pula helmet yang mempunyai label SIRIM beserta label ECE/UN, dan ada juga yang ditampal dengan label SIRIM, ECE/UN, dan DOT. Tidak mengapa, biar kita jelaskan di sini.

Siapakah SIRIM?

Mula-mula sekali, kita kenali SIRIM dengan lebih dekat lagi.

SIRIM merupakan sebuah syarikat yang dipunyai oleh Kerajaan Malaysia dan berada di bawah naungan Kementerian Perdagangan Luar Negara dan Industri (MITI). SIRIM ditubuhkan pada 1964 sebagai sebuah badan yang membangunkan serta menguatkuasakan piawaian untuk industri di Malaysia.

Label SIRIM digunakan julung kalinya pada 1980 untuk produk-produk yang berkenaan dengan keselamatan pengguna seperti helmet motosikal, tali pinggang kereta, serta lampu.

Piawaian terbaharu untuk helmet motosikal ialah MS1:2011.

Apa pula dengan piawian ECE/UN?

Kesatuan Eropah (European Union/EU) turut mempunyai piawaian perindustrian yang diterima pakai oleh negara anggota mereka. Piawaian ini meliputi semua jenis produk yang terdapat di pasaran EU seperti peralatan rumah, mesin pembuatan, pakaian pelindung diri. Peralatan motosikal terletak di dalam bahagian yang khusus untuk peralatan pelindung diri (PPE). Piawaian untuk topi keledar penunggang motosikal dihuraikan sebagai ECE R22.XX; di mana R22 ialah nombor piawaian, manakala dua nombor di hujungnya menunjukkan rombakan piawaian ini. Contohnya, ECE/UN R22.06 yang terbaharu.

Piwaian ECE R22 turut diterima oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai piwaian untuk topi keledar motosikal yang sah justeru ia diterima pakai di 64 negara di seluruh dunia, termasuk Malaysia. Inilah sebabnya anda kadangkala melihat label UN R22.06.

Helmet yang diimport mesti disahkan telah lulus ujian piawaian ECE R22.XX (UN R22.XX). Pengimport akan menyerahkan spesifikasi topi keledar dan keputusan ujian kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk pengesahan. JPJ kemudiannya akan mengeluarkan kebenaran untuk mengimport topi keledar tersebut apabila diluluskan. Pihak berkuasa berhak untuk merampas topi keledar yang diimport tanpa kebenaran. Topi keledar motosikal adalah berkaitan keselamatan dan oleh itu merupakan item terkawal.

Bagaimana pula dengan piawaian DOT?

Piawaian DOT FMVSS (Federal Motor Vehicle Safety Standard) No. 218 tidak sah di Malaysia. Bagaimanapun, sesuatu model helmet DOT diterima oleh pihak berkuasa Malaysia jika ia turut diluluskan oleh ECE/UN. Contohnya ada label DOT dan ECE/UN.

Habis, apakah label yang sepatutnya ada pada helmet saya?

Perkara yang senang diingat ialah:

  • Helmet keluaran tempatan diwajibkan untuk diuji, diluluskan dan ditampal dengan label SIRIM.
  • Helmet yang diimpot diwajibkan untuk diuji, diluluskan dan ditampal dengan label ECE/UN. Tetapi, pembuat/pengimpot helmet tersebut boleh menghantar helmet mereka kepada SIRIM bagi diuji dan mendapatkan label SIRIM, tetapi tidak wajib.
  • Seperti yang kami huraikan di atas, helmet yang mempunyai hanya label DOT sahaja dikira haram.

Nota akhir

Kesemua piawaian ini ialah bagi keselamatan kita sebagai penunggang motosikal. Penulis ini pernah melihat komen yang piawaian ini semua hanya kes monopoli. Itu merupakan komen yang tidak masuk akal kerana bayangkan kita membeli dan memakai helmet yang tidak diluluskan oleh sesuatu piawaian!