Mungkinkah pembuat motosikal Yamaha akan menghasilkan model Yamaha YZF-R9 kelak?

Pembuat yang bertapak di Iwata, Jepun itu telah menghasilkan model YZF-R6 sejak tahun 1999 sehingga bulan November tahun 2020. Model itu akhirnya diberhentikan kerana permintaan yang kurang menggalakkan bagi model-model supersport 600cc.

Yamaha beralih pula kepada pembuatan model YZF-R7 yang menggunakan enjin CP2 MT-07. Walaupun ia tidak mempunyai kuasa enjin seperti R6, ia disambut dengan baik dan kesemua unit-unit pra-jualan telah terjual. Antara faktor yang menyumbang kepada sambutan hangat ini disebabkan oleh harga yang berpatutan.

Oleh yang demikian, ramai peminat Yamaha yang menyarankan bahawa jenama itu harus mengeluarkan sebuah motosikal supersport yang menggunakan enjin CP3 889cc yang digunakan di dalam model MT-09. Enjin tersebut menghasilkan kuasa maksima sebanyak 115 hp serta tork maksima sebanyak 87.5 Nm. Selain daripada itu, model MT-09 sememangnya laris disebabkan harganya yang berpatutan dan diharapkan bahawa harga ini dibawa kepada model YZF-R9 kelak, berbanding dengan model YZF-R1 yang terlalu mahal bagi kebanyakkan penggemar motosikal.

Tetapi mungkin ada berita baik untuk mereka yang memintakan model YZF-R9, kerana terjumpanya dokumen-dokumen permohonan untuk paten YZF-R9 di benua-benua Eropah, Amerika Selatan serta Oceania.

Walaupun permohonan paten tidak selalunya bermaksud penghasilan motosikal model tersebut, ia mungkin suatu petanda yang baik. Bayangkan sebuah motosikal supersport yang ringan dan laju serta mempunyai pengendalian yang tangkas seperti MT-09!

Pihak Yamaha akan menyertai pertunjukan motosikal di EICMA kelak. Kita berharap mereka akan melancarkan model tersebut di sana nanti. Biar kita hayati gambar-gambar lakaran konsep ini sehingga ketika itu.

Sumber gambar: Motokandi.com