BMW Motorrad Malaysia telah mengumumkan ketibaan dua buah model edisi khas iaitu BMW R 1250 GS serta BMW R 1250 GS Adventure (GSA) edisi "40 Years GS" (40 tahun GS). 

Edisi ini dihasilkan bagi menyambut ulangtahun pengenalan model BMW R80G/S yang ke-40. R80G/S-lah yang merupakan motosikal yang memulakan revolusi sekmen motosikal jenis dual-sport/adventure. Nama “G/S” pun bermaksud Gelande/Strasse iaitu off-road/road (jalan lasak/jalanraya).

Kedua-dua model edisi khas ini dilengkapi dengan ciri-ciri yang merupakan opsyen tambahan pada model R 1250 GS serta R 1250 GSA yang standard.

Apapun, perbezaan yang paling ketara ialah model GS mempunyai tangki berkapasiti 20 liter, manakala tangki GSA sebesar 30 liter.

Ciri-ciri:
Tema warna unik yang menggabungkan kombinasi warna-warna Blackstorm Metallic dengan kuning yang diinspirasikan oleh model R100GS "Bumble Bee" keluaran tahun 1988.
Enjin kedua-dua model menggunakan jenis "Boxer" 2-silinder berkapasiti 1254cc yang dilengkapi dengan sistem BMW Shiftcam.
Sistem Shiftcam ini mengubahkan pemasaan serta jarak pembukaan injap kemasukan untuk penghasilkan kuasa enjin yang lebih lancar serta menjimatkan petrol.
Enjin ini menghasilkan kuasa maksimum sebanyak 136 hp (100 kW) pada 7,750 RPM serta kilasan (tork) maksimum sebanyak 143 Nm pada 6,250 RPM.
Klac cegah lompat (anti-hopping).
Sistem BMW Gear Shift Assistant Pro.
Sistem bantuan elektronik termasuk Dynamic Traction Control (DTC), dengan mod tunggangan "Pro," "Road," "Rain."
Mod "Pro" memberikan tambahan seperti Dynamic, Dynamic Pro, Enduro, serta Enduro Pro. Sistem mod Pro ini juga mengawal tahap dynamic engine brake control (kawalan brek enjin  dinamik) ketika menurunkan gear.
BMW Integral ABS Pro dipasang sebagai standard. Sistem ini dioptimasikan untuk tunggang di atas jalanraya mahupun ketika off-road.
Sistem suspensi elektronik BMW Motorrad Dynamic ESA (Electronic Suspension Adjustment).
Skrin TFT berukuran 6.5-inci berwarna memberikan penyambungan telefon pintar dan alat komunikasi melalui Bluetooth.
Penunggang boleh membuat atau menjawab panggilan telefon, memainkan musik atau radio, serta mencari arah dengan menggunakan roda pengawal di hendal sebelah kiri.
Lampu hadapan berbentuk "X" yang baharu.
Lampu yang menggunakan LED ini akan menyesuaikan paras pancaran lampu menurut sudut motosikal ketika membelok mahupun apabila mendaki atau menurun bukit.

Stok serta harga
Kedua-dua model ini sudah berada di cawangan-cawangan BMW Motorrad yang sah di seluruh Malaysia. Cawangan-cawangan tersebut sekarang dibuka kepada khayalak ramai dengan pematuhan SOP yang diwartakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Model BMW R 1250 GS serta R 1250 GSA standard boleh didapati dengan pembayaran sebanyak RM 1,460.00 serta RM 1,590.00 sebulan melalui Skim Pinjaman BMW. Skim pembayaran ini berdasarkan pinjaman sebanyak 80% untuk tempoh pembayaran semula 4 tahun.

Harga jualan untuk semua model R 1250 GS serta R 1250 GSA termasuk varian "40 Years GS" ialah:
BMW R 1250 GS Style Rallye: RM 119,500.00
BMW R 1250 GS Style Triple Black: RM 120,500.00
BMW R 1250 GS ’40 Years GS’ Edition: RM 122,500.00
BMW R 1250 GS Adventure (Lowering): RM 130,500.00
BMW R 1250 GS Adventure Style Rallye: RM 132,500.00
BMW R 1250 GS Adventure Style Triple Black: RM 133,500.00
BMW R 1250 GS Adventure ‘40 Years GS’ Edition: RM 135,500.00