BMW M 1000 RR Telah tiba di Malaysia
Model BMW S 1000 RR sangat popular dan mungkin merupakan motosikal supersport yang teramai di Malaysia. Kita boleh menjumpainya hampir di mana-mana sahaja tempat rider berkumpul seperti di BHP Gombak, Gohtong Jaya, Bukit Tinggi, Simpang Pulai, Lemang To’ki, juga di “trackday” di atas litar.
BMW Motorrad kemudiannya menyertai Kejohanan Superbike Dunia (WorldSBK) dengan model S 1000 RR generasi baharu. Akan tetapi, pencapaiannya kurang menyengat seperti yang diharapkan setelah dua tahun.
Peraturan WorldSBK agak ketat kerana ia sebuah kejuaraan bagi motosikal produksi (motosikal yang boleh dibeli oleh orang ramai) dan bukan bagi motosikal perlumbaan jenis prototaip seperti MotoGP. Oleh itu, pengeluar motosikal harus menghasilkan sebuah motosikal yang kompetitif dari awal lagi seperti model-model Ducati Panigale V4 R, Honda CBR1000RR-R SP, Kawasaki Ninja ZX-10RR.
Justeru itu, BMW pun menghasilkan varian M 1000 RR yang berasaskan S 1000 RR. Huruf “M” untuk BMW bermaksud model yang dipertingkatkan prestasinya, khususnya bagi model-model kereta sebelum ini seperti M3, M5, M6, Z4M dan sebagainya.
Enjin
⦁ Enjin empat-silinder sebaris dengan sistem BMW Shiftcam yang menghasilkan kuasa maksimum sebanyak 212 hp pada 14,500 RPM serta daya kilasan maksimum sebanyak 113 Nm pada 11,000 RPM.
⦁ Piston-piston tempa Mahle yang ringan dengan hanya dua piston ring bagi mengurangkan inersia serta geseran.
⦁ Rod penyambung piston (connecting rod) titanium Pankl.
⦁ Kebuk pembakaran yang diubahsuai untuk nisbah mampatan sebanyak 13.5:1.
⦁ Liang kemasukkan diubahsuai untuk edaran gas yang lebih lancar.
⦁ Sistem ekzos titanium yang baharu.
⦁ Klac jenis anti-lompat (slipper clutch).
Cesi
⦁ Ketinggian pengikat paras lengan ayun boleh ubah.
⦁ Monoshok belakang jenis Full Floater Pro.
⦁ Frem yang optimasikan pembahagian keberatan cesi antara bahagian depan dan belakang.
⦁ Penggunaan sayap aerodinamik M.
Sistem elektronik
⦁ Mod-mod baharu termasuk "Rain," "Road," "Dynamic," "Race," "Race Pro” (dengan 3 tahap).
⦁ Dynamic Traction Control dengan fungsi kawalan anti-wheelie yang berasaskan IMU 6-paksi.
⦁ Kawalan pendikit yang boleh dilaras antara dua tahap.
⦁ Kawalan brek enjin tiga tahap di dalam mod Race Pro.
⦁ Shift Assistant Pro (fungsi quickshifter).
⦁ Kawalan Lancaran (Launch Control).
⦁ Kawalan Penghad Kelajuan Pit (Pit-Lane Limiter).
⦁ Kawalan Bergerak Cerun Bukit (Hill Start Control Pro).
⦁ Skrin TFT 6.5-inci baharu dengan skrin yang lebih jelas.
⦁ Pemuka OBD bagi memasukkan kod untuk mengaktifkan fungsi perakam data M GPS serta masa lap M GPS yang menggunakan GPS.
⦁ Brek jenis M sebagai ciri stended.
⦁ Roda karbon M.
⦁ Bateri lithium M.
Harga
Model M 1000 RR boleh didapati dengan hanya satu skim warna BMW Motorrad Motorsport M Package, yang menggabungkan warna Light White, Racing Blue Metallic dan Racing Red.
Harga jualannya ialah RM 249,500.00 termasuk atas jalan tanpa insurans, dengan waranti selama 3 tahun serta Program Bantuan Tepi Jalan selama 3 tahun yang disediakan oleh BMW Motorrad Malaysia.